Hujah yg sering ditimbulkan oleh mereka yg
ber"couple" sblm kawin..=p
Kami tidak berzina !
Maaf, saya tidak menuduh awak berzina, tetapi
awak menghampiri zina.
Kami hanya barbual-bual, berbincang,.
Bertanya khabar, minum-minum di kafe. Adakah
itu menghampiri zina?
Ya,perbuatan itu boleh menjerumuskan
pelakunya ke lembah penzinaan.
Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak
berniat ke arah itu.
Hari ini ya. Esok mungkin kamu kecundang.Iblis
akan memerangkap kamu. Iblis amat
berpengalaman dan tipu dayanya sangat
halus. Ia telah menipu moyang kita yang
pertama,Adam dan Hawa. Iblis amat licik.
Ingat, pesanan Rasulullah : Janganlah engkau
bersendirian dengan seorang wanita kecuali yang
ketiganya, syaitan(Tabrani) . Kita lemah
menghadapi tipu daya Iblis.
Tidak semestinya semua orang bercinta*
menjurus kepada penzinaan. Ada yang
bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja.
Tidak pernah bersua muka pun!
Betul .Tetapi itu adalah salah satu yang
dimaksudkan dengan menghampiri zina.
Memang pada awalnya tidak bersua muka. Tapi
perasaan pasti bergelora, lambat laun desakan
nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis akan
mengheret kepada suatu pertemuan.
Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu
sahaja.Percayalah, ia akan berlanjutan.
Tidakkah itu boleh membawa kepada
perzinaan akhirnya?
Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itupun
zina ke?
Zina ada bermacam-macam jenis dan
peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan
iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu
melihat kekasih dengan perasaan berahi. Zina
hati iaitu dengan khayalan berahi dengan
kekasih sepertimana yang digambarkan oleh
Rasulullah: Kedua-dua tangan juga berzina
dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki
juga berzina dan zinanya menuju ke tempat
pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya
adalah ciuman (Muslim dan Abu Daud).
Sebenarnya jalan menuju kepada perzinaan
amat banyak. Jangan biarkan diri kita melalui
mana-mana jalan perzinaan.
Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke?
Bincang pelajaran sahaja!* (bagi kes belajar
berdua-duaan SAHAJA)*
Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu.
Allah tahu apa yang terselit di dalam hati
hamba-hambaNya. Kita belajar nak
keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau
tidak diberkati oleh Allah, kejayaan tidak akan
membawa kebahagiaan. Hidup di dunia tidak
bahagia,akhirat lagi lah. Jangan berselindung
disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka
kepada orang berilmu. Jadi belajar hendaklah
ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan
jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan
ditulis oleh malaikat Raqib dan Atid.
Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni Study
Group.*(bagi kes berdua-duaan SAHAJA)
Study Group...? nampak lain macam saja,
manja, senyum memanjang, tak macam gaya
berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja?
Kemana-manapun berdua. Kalau yea pun,
carilah group study ramai sikit. Kalau duduk
berdua-duaan macam ni... betul ke bincang
pelajaran?
Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran,
yang lain tu... banyak masa dihabiskan dengan
fantasi cinta!
Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.*
Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak
berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak
kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat,
tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan menafikan
fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan.
Itulah manusia.
Kami berdua sama-sama belajar, study group*,
saling memberi semangat dan motivasi.
Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan
rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis
yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina
kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang
cemerlang yang belajar hanya dengan kaum
sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak
terganggu, dapat berkat dan rahmat pula .
Takkanlah tak ada langsung ruang yang
dibenarkan dalam Islam untuk bercinta?
Adakah Islam membunuh terus naluri cinta?
Naluri adalah sebahagian daripada
kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin
memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging)
adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri
seseorang, tak normal namanya. Islam bukan
datang membunuh naluri dan keinginan itu,
tidak! Islam tidak suruh membunuh naluri
seperti yang dilakukan oleh para paderi atau
sami. Jangan nafikan naluri ini.
Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan
salah dan berdosa kalau perasaan itu datang
tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma
tudukkan naluri itu untuk patuh pada perintah
Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya.
Jangan jadi malaikat! Kerana Allah jadikan kita
sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan
hambar tanpa naluri atau nafsu.
Tentu ada cinta secara Islam.
Cinta secara Islam hanya satu, iaitu
perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab kabul,
cinta selepas kahwin. Itulah cinta sacral dan
qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta
murahan. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam
menegah sesuatu perkara, tentu ia gantikan
dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia
menegah cinta antara lelaki dan perempuan
sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan
sebagai ganti yang lebih baik.
Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih patut
bagi dua orang yang saling mencintai kecuali
nikah. (Ibnu Majah).
Cinta adalah maruah manusia. Ia telalu mulia.
Kalau begitu, cinta* remaja semua
menghampiri kepada penzinaan?
Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu
perasaan turut terusik. Kemudian perasaan
dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian
diatur pertemuan. Kemudian duduk
berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi
sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga
malam gelap. Hubungan makin akrab, dah
berani pegang tangan, duduk makin dekat.
Kalau tadi macam kawan, sekarang macam
pengantin baru semalam bukankah mereka
semakin hampir dengan penzinaan? Berapa
ramai orang yang bercinta telah sampai
kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan.
Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan
kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda
daripada seekor nyamuk sekalipun!
Masih ramai orang yang bercinta* tetapi tetap
selamat tidak sampai berzina. Kami tahan diuji.
Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu
kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia
tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan
supaya jauhi perkara yang ditegah takut
manusia akan kecundang.
Jadi manusia itu tidak tahan diuji?
Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa,
sejak dari awal penciptaan manusia. Allah
takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia.
Allah tegah Adam dan Hawa supaya
tidak memakan buah khuldi dalam syurga.
Buah yang lain boleh makan. Allah tahu
kelemahan pada ciptaan manusia. Tidak tahan
diuji. Oleh itu Allah berpesan kepada Adam dan
Hawa, jangan menghampiri pokok khuldi itu.
Firman Allah: Wahai Adam! Tinggallah engkau
dan isterimu di dalam syurga serta makanlah
dari makanannya sepuas-puasnya apa yang
kamu sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok
ini. (jika kamu menghampirinya) maka kamu
adalah orang-orang yang zalim. (al-Araf:19)
Tegahan yang sebenarnya adalah memakan
buah khuldi. Jika menghampiri perkara
tegahan, takut nanti mereka akan
memakannya.
Demikianlah dengan zina. Ditegah berzina.
Maka jalan ke arah penzinaan juga dilarang.
Takut apabila berhadapan dengan godaan
zina, kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah
kita belajar daripada pengalaman nenek
moyang kita Adam dan Hawa.
Tetapi cinta selepas kahwin banyak masalah.
Kita tak kenal pasangan kita secara dekat.
Bercinta adalah untuk mengenal hati budi
pasangan sebelum buat keputusan berkahwin.
Bolehkah percaya dengan perwatakan masa
sedang bercinta? Bercinta penuh dengan
lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan.
Masing- masing akan berlakon dengan watak
terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan
berbagai- bagai lagi. Masa bercinta merajuk
ada yang pujuk.
Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan
ada yang pujuk. Banyak orang yang kecewa
dan tertipu dengan keperibadian pasangan
semasa bercinta. Perangai pasangan jauh
berbeza. Macam langit dan bumi. Masa
bercinta, dia seorang yang amat penyayang,
penyabar, sabar tunggu pasangan terlambat
sampai berjam-jam. Tapi bila dah kahwin, lewat
lima minit, dah kena tengking. Jadi, perwatakan
dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai.
Percintaan adalah suatu kepuraan atau
hipokrit.
Percayalah, kami bercinta demi merancang
kebahagian hidup nanti.
Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak
mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah
anugerah Allah kepada hamba-hambaNya yang
terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia.
Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah
yang menganugerahkannya. Bagaimana
mendapat anugerah kebahagiaan itu, jika jalan
mencapai kebahagiaan itu tidak diredhai Allah.
Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah
melalui proses yang betul. Sudah tentu
prosesnya bukan bercinta begini, Allah tidak
meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai
Allah adalah cinta selepas kahwin.
Bagaimana untuk mendapat keluarga yang
bahagia jika langkah mula sudahpun
canggung, bagaimana kesudahannya?
Tanya sikit,.. adik angkat, kakak angkat, abang
angkat boleh ke? Ganti bercinta....
Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan.
Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi
nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tetapi
isinya adalah sama. Adik angkat, kakak angkat,
abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya
iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan
budaya angkat ini sebenarnya telah masuk
dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu
masa untuk dikorbankan.
Namakan apa nama sekalipun, abang angkat
ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan
akhirnya akan bertemu dengan zina.
Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah
hilang maruah diri?
Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh
manusia tetapi oleh Pencipta manusia.Orang
yang sedang mabuk bercinta akan mengatakan
orang yang bercinta tidak menjejaskan maruah
dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga
diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum
kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta
sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya
ditumpahkan kepada orang yang belum layak
menerima cinta suci.
Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak
adalah ditentukan oleh Allah. Adakah orang
yang bercinta* hilang maruah?
Antara kemuliaan manusia adalah maruah
dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba
menggadaikan maruahnya kerana mereka
menghampiri perzinaan. Manakala orang yang
bercinta dan pernah berzina tidak layak
berkahwin
kecuali dengan orang yang pernah berzina.
Allah berfirman: Lelaki yang berzina (lazimnya)
tidak ingin berkahwin melainkan dengan
perempuan yang berzina atau perempuan
musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula
tidak ingin berkahwin melainkan oleh lelaki
yang berzina atau lelaki musyrik. Dan
perkahwinan yang demikian itu terlarang
kepada orang-orang yang beriman.(Surah
An-Nur: 3)
Jadi, orang yang pernah bercinta juga tidak
sesuai untuk berkahwin dengan orang yang
tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu
penghinaan dari Tuhan?
Jadi orang yang bercinta* hanya layak
berkahwin dengan orang yang pernah
bercinta* juga?
Itulah pasangan yang layak untuk dirinya.
Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki
yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang
baik.
Kami telah berjanji sehidup semati.....
Apa ada pada janji cinta? Berapa banyak
sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan
diharap pada janji lelaki. Mereka hanya
menunggu peluang keemasan sahaja. Habis
madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap
kerana ia sering berulang sehingga menjadi
pepatah.
Si dia ini lain dari yang lain. Dia lelaki yang
penyayang dan bertanggungjawab.
Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki,
apabila ingin mengambil seseorang wanita
sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu
untuk anak-anaknya, dia akan memilih wanita
yang baik. Tetapi untuk berseronok dan
berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih
perempuan murahan kerana ia suatu
pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia
lelaki.
Jadi, perempuan yang bercinta*, jatuh
maruahnya pada pandangan lelaki?
*(tidak mengikut syariat)
Tentu! Mana ada orang lelaki yang normal suka
pada barang yang second hand sedangkan
barang yang baru masih ada. Sesetengah
mereka menggambarkan perempuan seperti
kereta yang diletakkan di bilik pameran sahaja.
Tapi ada orang yang boleh test drive. Ada pula
yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan
segelas sirap bandung, bawalah ke hulu, ke
hilir. Sedihkan? Itulah hakikatnya!
Masih adakah orang yang tidak bercinta di
zaman ini?
Ya! Masih ada orang suci dalam debu.
Golongan ini akan sentiasa ada walaupun
jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu
suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya.
Firman Allah: Dan orang-orang lelaki yang
memelihara
kehormatannya serta orang-orang perempuan
yang memelihara kehormatannya (yang
memelihara dirinya dari melakukan zina)... Allah
telah menyediakan bagi mereka segala
keampunan dan pahala yang besar. (Surah
Al-Ahzab: 35 )
Bagaimana kami?
Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan
taubat nasuha. Berdoalah serta mohon
keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan
kekuatan untuk mendapat redha-Nya.
Kami ingin mendapat redha Tuhan.
Tunjukkanlah bagaimana taubat nasuha.
Taubat yang murni. Taubat yang
sebenar-benarnya.Taubat yang memenuhi tiga
syarat:
i) Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan
hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini.
ii) Menyesal. Menginsafi diri diatas tindak
tanduk hidup yang menjurus diri dalam
percintaan.
iii) Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan
bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan
seseorang yang bernama isteri atau suami.
Saatnya adalah selepas ijab kabul.
Ya Allah. Hambamu ini telah tersesat jalan.
Ampunilah dosa-dosa hamba-Mu ini.
Sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan
penerima taubat . Berilah kekuatan kepadaku
untuk menghadapi godaan keremajaan ini.
Anugerahkan kepadaku perasaan benci
kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak
yang mulia.
Ibu dan ayah, anakmu berdosa . Engkau jaga
diriku sedari kecil dengan kasih sayang.
Mengapaku curahkan kasih itu kepada orang
lain. Oh Tuhan, hambamu ini berdosa
Amin , yarabbal alamin.
Moga Allah terima taubat mu.
Kita berpisah kerana Allah , kalau ada jodoh ,
tidak ke mana!
Ya, Allah! Bantulah mereka. Kini mereka datang
ke pintu-Mu mencari redha-Mu. Terimalah
taubat mereka..
Monday, January 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment